Friday, June 27, 2008

Pengurusan Penempatan Pelajar Tajaan JPA di Mesir

Soal penginapan merupakan satu isu yang penting dalam kehidupan seorang pelajar. Situasi di antara satu universiti dengan satu universiti yang lain mungkin berbeza secara total. Sehubungan itu, pelajar-pelajar tajaan JPA yang akan ke Mesir dinasihatkan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai keadaan di universiti/negara tersebut. Pejabat ini akan berusaha untuk menyebarkan sebanyak mana mungkin maklumat berkenaan hal ini dan selalulah layari laman blog ini untuk maklumat terkini.
-
Seperti yang kita sedia maklum, urusan hal ehwal sewa-menyewa ini adalah tanggungjawab penuh setiap pelajar itu sendiri. JPA sebagai penaja sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan menyalurkan elaun penginapan sebanyak USD 160 setiap pelajar sebulan iaitu kira-kira RM512/bulan mengikut kadar tukaran asing semasa. Maklumat yang pejabat ini terima daripada pelajar senior di Cairo University adalah sebuah apartment yang sesuai didiami oleh 4 orang pelajar lengkap dengan perabot dan alat penghawa dingin adalah lebih kurang RM1500 sebulan. Walaupun urusan sewaan ini adalah tanggungjawab penuh pelajar, pejabat ini tetap akan menjalankan pemantauan ke rumah sewa pelajar-pelajar tajaan.
-
Pejabat ini memohon supaya pelajar dapat memilih rumah sewa yang paling sesuai dengan pelajar tersebut. Antara elemen yang perlu diambilkira dalam memilih rumah adalah kos sewaan sebulan, keadaan keselamatan/kebersihan kawasan sekitar, jarak dengan kelas kerana ini akan memberi impak kepada kos pengangkutan sebulan dan yang paling penting ialah terma perjanjian.
-
Pastikan arrangment sewaan dilengkapi dengan surat perjanjian kerana ini yang akan menyelamatkan pelajar-pelajar daripada ditipu tuan tanah/rumah. Pastikan KESELURUHAN surat perjanjian DIBACA dan DIFAHAMI kandungan tersurat dan tersiratnya. Buat tinjauan harga terlebih dahulu untuk membuat perbandingan dan kadar sewaan semasa dan lawatlah unit yang hendak disewa terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.
-
Jangan lupa bahawa senior-senior yang ada sedia untuk memberi khidmat nasihat, jangan malu untuk mendapatkan pandangan mereka dan pejabat ini mengalu-alukan bantuan pelajar senior kepada adik-adik yang baru mendaftar.
-
Untuk makluman, pejabat ini ada mendapat permohonan daripada sebuah agensi di Kaherah yang sedia membantu urusan pelajar-pelajar mendapatkan apartment untuk disewa. Walau bagaimanapun, setelah JPA dan pejabat ini meneliti dokumen perjanjian, dan keperluan agensi tersebut supaya pelajar-pelajar persediaan menandatangani surat perjanjian terlebih dahulu di Malaysia, pejabat ini membuat keputusan untuk tidak menggunakan khidmat agensi terbabit. Adalah tinggi risiko kepada pelajar untuk menandatangani apa-apa perjanjian tanpa mengetahui keadaan sebenar unit-unit yang hendak disewa. Pelbagai janji manis boleh ditabur, tetapi kalau sudah terikat dengan perjanjian, tiada apa yang boleh dilakukan atau mungkin terpaksa melalui proses undang-undang yang panjang.
-
Walau bagaimanapun, pejabat ini akan sentiasa berusaha supaya pelajar-pelajar dapat menjalani kehidupan pelajar yang normal dan memiliki kualiti hidup yang baik sepanjang pelajar-pelajar mengikuti kuliah masing-masing.

No comments: